Monday, February 16, 2009

Ulasan sajak - 'SAJAK KEMATIAN'

Menonton video 'Sajak Kematian' dengan ilmu yang sedikit, saya rasa ada kelemahan dan perlu kepada penjelasan. Saya tahu, niat penerbit adalah baik, untuk memberi kesedaran kepada generasi muda tentang adanya pembalasan selepas mati. Ini adalah satu akidah atau pegangan hidup, iaitu percaya kepada alam ghaib.
Video telah menayangkan imej api, awan, kilat, gelap dan orang mati yang dikapankan. Manakala kesan bunyi pula ialah bunyi suara bacaan Al-Quraan, percakapan bahasa Melayu yang di'echo'kan, bunyi guruh dan bunyi kilat. Kesan bunyi dan imej yang dipaparkan mungkin hebat jika ditayangkan di panggung yang gelap dengan kesan bunyi yang kuat.
Pada pandangan saya, kanak-kanak sekarang sudah tidak berapa takut dengan imej dan suara seperti yang dipaparkan sebab video itu mungkin dimainkan dengan handphone yang kesan bunyinya tidak seberapa. Bagaimana persepsi kita jika kanak-kanak mempermainkan video itu dan memandangnya sambil lewa.
Saya lebih berpegang yang siksa kubur itu ialah alam ghaib yang tidak dapat digambarkan dengan apa cara dan segala makhluk yang ada didunia. Bagaimana hendak gambarkan kerana mungkin yang kita gambarkan sekarang adalah menjadi sesuatu yang biasa seperti yang dapat dilihat dalam filem-filem barat yang lain.
Saya berpendapat, lebih baik jika penerbit mengakhiri video tersebut dengan melakukan seolah-olah pelaku itu bermimpi. Adalah lebih selamat dari segi akidah.

Posted by AMLY RAMLY at 10:45 | 0 comments

Saturday, February 14, 2009

Sajak - PENCARIAN DI HUJUNG MAYA

Pencarian di mana-mana
pencarian entah apa
Hampir tidak dapat mengenalinya
hanya bayang-bayang yang berbalam-balam
sesekejap tampak dan hilang
sehinggalah merangkak ke hujung maya

Dipertengahan siang
Semakin banyak simpang siurnya
dikala kebendaan semakin menghimpit
Dinding keilmuan semakin menebal
balam-balam semakin jelas
pandangan semakin terang
Keyakinan bertambah dzam

Kepetangan usia
Ribut pangkat dan derjat semakin dahsyat
Meroboh batas keyakinan
hampir dilanda krisis
ketuaan dan maruah yang terpijak
hampir terlepas tempat berpegang

Perjalanan ketuaan
Terketar-ketar semangat dan jalanan
diteruskan juga pencarian
dihujung maya
yang cerah, yang manis dan nikmat
Seperti buah keimanan


amly Ramly

Menjelang usia 56

Tuesday, February 10, 2009

Sajak- Mencari Kedamaian Abadi II

Bila dunia ini kecelaruan
Ada dua yang betul, ada tiga yang tidak salah
dua kepala, malah ada banyak ekor-ekornya
berlumba menegakkan panji-panji kebenaran
dimedan bicara dan dimedan media
Rakyatlah yang hilang arah

Sejak mula adanya beberapa kepala
Sejak itulah adanya takhta dan pendita
Sejak itu juga ada taat dan derhaka
dan adanya percanggahan minda
Merobek institusi kebenaran
yang disanjung atau disanggah

Apabila kebenaran milik segala
Rujuklah kepada fatwa
Kekuatan nas dan ijtihad diduga
Hasilnya sama dirasa
kemanisan dan kejernihan
lautan madu dan telaga khausar

Amlyramly

Digerhana bulan 2009

Thursday, February 5, 2009

Sajak - Suriawana

Seusia tuanmu
lahir dalam lipatan sejarah
'Suriawana' SMK Chabang Empat
membawa wadah bicara wargamu
sekolah jurusan baru

Meniti usia kedewasaan
meneruskan hayatmu
melangkah maju
walaupun jejak-jejak bakti
meninggalmu satu persatu

'Suriawana'
media bicara pelajar dan guru
yang dahagakan suntikan semangat
telah berhijrah ke tapak baru
'Cemerlang' digarhayu

Amly Ramly

Dikala mengingati sekolah SMKCE 1966

Sajak - Aku Masih Di Sini

Dalam pencarian iktikad
berbekal segulung ijazah
dan pengalaman masa lalu
dengan taufik dan hidayah Mu
bertauhidkan uluhiyah dan rububiyah
dan 99 nama Asma ul-Husna
Telah aku berdiri tegap di sini
dengan keyakinan dan keimanan jati

Walau dilanda ribut taufan
Kemelut budaya dan meterial
Aku masih di bawah sayap makrifat
Hingga bisa menodak arus
Kerana taufan pun makhluk Mu

Dilanda kemelut manusiawi
dengan berbagai-bagai idealogi
dengan percaturan maruah dan harga diri
merobek keagungan dan pemurah Ilahi
mengejar bayang-bayang duniawi
pun aku tetap di sini

Ditimpa petaka fitnah
seperti seekor semut hitam
di batu malam yang hitam
dengan berair mata teraniaya
memohon tuhan melindungi
daripada dosa syak wasangka
minta dizahirkan kejahatan
Lalu dibuka hijab istikharah
dan aku masih di sini

Aku masih di sini
berlindung dinaungan kubah MU
bertaut di mimbar Mu
mengadap ke kiblat Mu
sujud kepada kebesaran Mu
Tasbih dan tahmid memuji Mu
Semuga aku dilindungi fitnah
dan cinta dunia
dan wabak takut untuk mati


Amly Ramly
diufuk senja 5 Feb 2009
Semasa kemelut kerajaan Darul Ridhuan

Wednesday, February 4, 2009

Sajak : Tangisan Di Dada Malam

Apa yang terjadi
apabila malam dan sepi
bertaut kesyahduan dan sayu
rendah dan hina diri
Takut dan pengharapan
sujud menyembah Ilahi

Episod drama realiti
gelombang alfa separuh sadar
Dengan zikir dan munajab
wirid dan tahmid
Astaghar dan doa
sambil mengukur tali hayat
dengan membilang jari
Akan mengalirlah air mata
penyesalan dan pengharapan

Harga air mata
dalam slot qialmullail
adalah takliah dan tahliah
dari dosa kepada pahala
mengisi karung bekalan
untuk pelayaran duniawi

Tangisan di dada malam
tanpa riak, tanpa sumaah
tanpa iri tanpa dengki
dengan iman dan ikhlas
Adalah penyucian hati
bersama rafat doa
yang jarang terhijad.

Amly Ramly

Teratak Sayang
4 Feb 2009

Tuesday, February 3, 2009

Sajak - MENITIH WARNA PELANGI

Menyusur warna putih mentari
Merintis titisan hujan
Melerai tujuh petala warna
Bagai prisma menghurai dan mengabungjalinkan
Kembali sebagai segumpal warna pelangi

Kehangatan warna pelangi
Merah, jinga dan kuning
Merangsang minda aktif dan kreatif
Keluarga warna menjana jasmani dan
Kehidupan proaktif

Sesejuk warna pelangi
Biasan biru, hijau, indigo dan violet
Keluarga warna minda separuh sedar
Merangsang memori, khayalan, imaginasi dan fantasi
Menjana kreativiti dan meditasi


Warna pelangi merangkum hukum kesaimbangan
mewujudkan makhluk yang berpasangan
yang tidak sama malah bertentangan
Tetapi akhirnya bertaut
Dan melengkapi antara satu sama lain
mengharmonikan alam ini

Aura pelangi bagai cahaya petunjuk
Menerangi makhluk sejagat
umpama alam tumbuhan dan haiwan
yang sentiasa menanti bimbingan dan panduan
Bakal dicorak oleh akal manusia

Fanomena tanah, air, api dan angin
adalah instrumen kitaran alam
Terjana sedari awal kehidupan
dan terus berlalu keakhir kewujudan
Bukti keadilan dan kestabilan ciptaan Allah
Yang Maha Esa

Amly Ramly

Berangan
Januari 2008

Sajak - SALSABILA

Aku rindu Salsabila
pancuran air di taman syurga.

Debaran kecil bergetar di dada,
apakah itu tanda
ketibaan bidadari dengan senyuman berbunga
membawa hijau sutera
menyelimuti kenangan di mayapada
atau cucuran dingin Salsabila
menyirami rasa, membasahi sukma.

Aku dahaga Salsabila
minuman khamar bercampur halia.


Ediramle Ismail
Kok Pasir, Tumpat
1986

BIODATA PENULIS

Nama sebenar Ramlee bin Omar. Dilahirkan pada 14 November 1953 di Kok Pulau, Kampung Bechah Resak, Chabang Empat Tok Mek Ngah, Tumpat, Kelantan.
Anak keempat dikalangan lima orang adik beradik, mula bersekolah rendah pada tahun 1961 di SK Chabang Empat, Tumpat. Lima tahun di sekolah rendah, meneruskan persekolahan di bangunan sekolah yang sama tetapi berlainan nama iaitu Sekolah Menengah Rendah Chabang Empat, Tumpat.
Tamat tingkatan tiga , dapat menyambung pelajaran ke tingkatan empat di Sekolah Menengah Tumpat, iaitu pada tahun 1969 - 1970. Pada 1972, penulis telah mendapat tawaran kerja sebagai juruteknik rendah di Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM). Semasa berjinak-jinak dengan para artis inilah mula mencebur diri dalam bidang penulisan, iaitu bidang cerpen , sajak dan skrip drama radio dan TV. Beberapa buah karya telah diterbitkan, antaranya cerpen 'Orang tua', 'Penerbangan Pertama' dan 'Petaka'.
Penulis berusaha meneruskan pembelajaran ke peringkat STP secara pos dan kelas bimbingan di Angkasapuri. Penulis lulus STP sijil penuh pada tahun 1978. Pada tahun itu juga telah mendirikan rumah tangga dengan Pn Hazizah Derahman dan pada masa itu dikurniakan seorang cahaya mata. Pada 1982, menyambung pengajian ke peringkat serjana muda melalui Program Pengajian Luar Kampus, anjuran USM, Pulau Pinang, dalam bidang Ilmu Kemanusiaan.
Pada tahun 1986, kembali bertugas di jabatan lama, sehingga pada tahun 1989, meneruskan lagi pengajian ke peringkat diploma dalam bidang pendidikan di universiti yang sama.
Pada tahun 1990, pada usia 37 tahun, penulis telah bertukar kerjaya sebagai pendidik. Sekolah pertama penulis ialah Sek. Men.Keb Sultan Ibrahim 1, Pasir Mas, Kelantan. Setelah ditukarkan ke beberapa buah sekolah di sekitar Pasir Mas dan Tumpat, akhirnya penulis di SMK Berangan, Tumpat, mulai 2005 hingga sekarang. Jawatan yang disandang sekarang ialah Guru Penolong (DG 44, P1T20).
Dalam usia menjelang persaraan, penulis dikurniakan tujuh orang anak dan seorang cucu.
Diambang warga emas ini, dengan dorongan rakan-rakan dalam Pesisir dan Perintis, penulis menyingkap kembali tirai penulisan melalui laman cyber dalam blog-blog peribadi dan link sekolah.