Thursday, February 5, 2009

Sajak - Aku Masih Di Sini

Dalam pencarian iktikad
berbekal segulung ijazah
dan pengalaman masa lalu
dengan taufik dan hidayah Mu
bertauhidkan uluhiyah dan rububiyah
dan 99 nama Asma ul-Husna
Telah aku berdiri tegap di sini
dengan keyakinan dan keimanan jati

Walau dilanda ribut taufan
Kemelut budaya dan meterial
Aku masih di bawah sayap makrifat
Hingga bisa menodak arus
Kerana taufan pun makhluk Mu

Dilanda kemelut manusiawi
dengan berbagai-bagai idealogi
dengan percaturan maruah dan harga diri
merobek keagungan dan pemurah Ilahi
mengejar bayang-bayang duniawi
pun aku tetap di sini

Ditimpa petaka fitnah
seperti seekor semut hitam
di batu malam yang hitam
dengan berair mata teraniaya
memohon tuhan melindungi
daripada dosa syak wasangka
minta dizahirkan kejahatan
Lalu dibuka hijab istikharah
dan aku masih di sini

Aku masih di sini
berlindung dinaungan kubah MU
bertaut di mimbar Mu
mengadap ke kiblat Mu
sujud kepada kebesaran Mu
Tasbih dan tahmid memuji Mu
Semuga aku dilindungi fitnah
dan cinta dunia
dan wabak takut untuk mati


Amly Ramly
diufuk senja 5 Feb 2009
Semasa kemelut kerajaan Darul Ridhuan

No comments:

Post a Comment