Tuesday, February 3, 2009

Sajak - MENITIH WARNA PELANGI

Menyusur warna putih mentari
Merintis titisan hujan
Melerai tujuh petala warna
Bagai prisma menghurai dan mengabungjalinkan
Kembali sebagai segumpal warna pelangi

Kehangatan warna pelangi
Merah, jinga dan kuning
Merangsang minda aktif dan kreatif
Keluarga warna menjana jasmani dan
Kehidupan proaktif

Sesejuk warna pelangi
Biasan biru, hijau, indigo dan violet
Keluarga warna minda separuh sedar
Merangsang memori, khayalan, imaginasi dan fantasi
Menjana kreativiti dan meditasi


Warna pelangi merangkum hukum kesaimbangan
mewujudkan makhluk yang berpasangan
yang tidak sama malah bertentangan
Tetapi akhirnya bertaut
Dan melengkapi antara satu sama lain
mengharmonikan alam ini

Aura pelangi bagai cahaya petunjuk
Menerangi makhluk sejagat
umpama alam tumbuhan dan haiwan
yang sentiasa menanti bimbingan dan panduan
Bakal dicorak oleh akal manusia

Fanomena tanah, air, api dan angin
adalah instrumen kitaran alam
Terjana sedari awal kehidupan
dan terus berlalu keakhir kewujudan
Bukti keadilan dan kestabilan ciptaan Allah
Yang Maha Esa

Amly Ramly

Berangan
Januari 2008

Sajak - SALSABILA

Aku rindu Salsabila
pancuran air di taman syurga.

Debaran kecil bergetar di dada,
apakah itu tanda
ketibaan bidadari dengan senyuman berbunga
membawa hijau sutera
menyelimuti kenangan di mayapada
atau cucuran dingin Salsabila
menyirami rasa, membasahi sukma.

Aku dahaga Salsabila
minuman khamar bercampur halia.


Ediramle Ismail
Kok Pasir, Tumpat
1986

BIODATA PENULIS

Nama sebenar Ramlee bin Omar. Dilahirkan pada 14 November 1953 di Kok Pulau, Kampung Bechah Resak, Chabang Empat Tok Mek Ngah, Tumpat, Kelantan.
Anak keempat dikalangan lima orang adik beradik, mula bersekolah rendah pada tahun 1961 di SK Chabang Empat, Tumpat. Lima tahun di sekolah rendah, meneruskan persekolahan di bangunan sekolah yang sama tetapi berlainan nama iaitu Sekolah Menengah Rendah Chabang Empat, Tumpat.
Tamat tingkatan tiga , dapat menyambung pelajaran ke tingkatan empat di Sekolah Menengah Tumpat, iaitu pada tahun 1969 - 1970. Pada 1972, penulis telah mendapat tawaran kerja sebagai juruteknik rendah di Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM). Semasa berjinak-jinak dengan para artis inilah mula mencebur diri dalam bidang penulisan, iaitu bidang cerpen , sajak dan skrip drama radio dan TV. Beberapa buah karya telah diterbitkan, antaranya cerpen 'Orang tua', 'Penerbangan Pertama' dan 'Petaka'.
Penulis berusaha meneruskan pembelajaran ke peringkat STP secara pos dan kelas bimbingan di Angkasapuri. Penulis lulus STP sijil penuh pada tahun 1978. Pada tahun itu juga telah mendirikan rumah tangga dengan Pn Hazizah Derahman dan pada masa itu dikurniakan seorang cahaya mata. Pada 1982, menyambung pengajian ke peringkat serjana muda melalui Program Pengajian Luar Kampus, anjuran USM, Pulau Pinang, dalam bidang Ilmu Kemanusiaan.
Pada tahun 1986, kembali bertugas di jabatan lama, sehingga pada tahun 1989, meneruskan lagi pengajian ke peringkat diploma dalam bidang pendidikan di universiti yang sama.
Pada tahun 1990, pada usia 37 tahun, penulis telah bertukar kerjaya sebagai pendidik. Sekolah pertama penulis ialah Sek. Men.Keb Sultan Ibrahim 1, Pasir Mas, Kelantan. Setelah ditukarkan ke beberapa buah sekolah di sekitar Pasir Mas dan Tumpat, akhirnya penulis di SMK Berangan, Tumpat, mulai 2005 hingga sekarang. Jawatan yang disandang sekarang ialah Guru Penolong (DG 44, P1T20).
Dalam usia menjelang persaraan, penulis dikurniakan tujuh orang anak dan seorang cucu.
Diambang warga emas ini, dengan dorongan rakan-rakan dalam Pesisir dan Perintis, penulis menyingkap kembali tirai penulisan melalui laman cyber dalam blog-blog peribadi dan link sekolah.